Home > Muhasabah Diri, Pendidikan Islam > 7M dalam mendalami Al-Quran

7M dalam mendalami Al-Quran

Assalamualaikum WBT

 

Apa yang di katakan 7M? 7M adalah seperti berikut:

  1. Mempelajari
  2. Membaca
  3. Mengajar
  4. Menghafal
  5. Merenung
  6. Mengamalkan
  7. Mendaulatkan

Pertama ialah mempelajari iaitu merujuk kepada kehendak untuk belajar al-Quran sebagai gudang ilmu yang perlu diterokai. Jika perkara utama itu tidak ada dalam diri seseorang, maka amat sukar untuk membentuk seseorang itu menuju kejayaan sebagai generasi al-Quran.

Kedua ialah membaca al-Quran. Membaca bukan sahaja merujuk kepada membaca sahaja tetapi juga bermaksud mendengar bacaan al-Quran dibaca oleh orang lain, seperti mana Rasulullah SAW pernah meminta Ibnu Mas’ud untuk memperdengarkan bacaan al-Quran kepada Baginda.

Daripada Ibnu Mas’ud, Nabi SAW bersabda kepadaku: “Bacakanlah al-Quran untukku. Aku berkata: Wahai Rasulullah, saya membacakan al-Quran untuk tuan? Pada hal kepada tuanlah al-Quran diturunkan. Baginda bersabda: Sesungguhnya aku ingin mendengar al-Quran dibaca oleh orang lain. Maka aku pun membacakan untuk Baginda surah an-Nisa’ sehingga sampai ayat 41. Kemudian Baginda bersabda: Cukuplah sampai di sini. Saya menoleh kepada Baginda, tiba-tiba kedua matanya mencucurkan air mata.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Apa yang berlaku kepada Rasulullah SAW sepatutnya dijadikan iktibar kepada umat Islam, generasi sebeginilah yang perlu dibentuk bagi memimpin masa hadapan. Generasi mempunyai hati yang cair dan lebur apabila mendengar bacaan al-Quran, yang dibaca sendiri atau mendengar orang lain membacakannya.

Membaca al-Quran boleh dijadikan sebagai aktiviti atau rutin harian setiap institusi keluarga, mudah-mudahan ia memberi rahmat kepada seluruh ahli keluarga di samping dapat melembutkan hati yang keras.

Ketiga ialah mengajar al-Quran mengikut kadar ilmu yang ada dalam diri. Seseorang individu boleh mendapat kebahagiaan dengan mengajar, sama ada mengajar ilmu berkaitan bacaan al-Quran atau ilmu lain seperti sains, matematik, geografi dan sebagainya.

Ustazah Norhafizah Musa dalam program Usrati mengambil contoh seorang guru sains yang hendak menceritakan mengenai kejadian manusia sepatutnya mengaitkannya dengan keindahan kejadian diceritakan dalam al-Quran untuk menarik minat pelajar sekali gus merasa lebih dekat dengan al-Quran itu sendiri.

‘M’ yang keempat ialah menghafaz ayat al-Quran, sama ada keseluruhan ayat, sebahagian daripadanya atau memberi motivasi dan galakan kepada anak untuk menghafaz al-Quran. Mereka adalah golongan yang menjaga akhlak, amanah kepada Allah SWT dan berdisiplin.

Sheikh Zainuddin Al-Malbari menulis satu syair yang menggambarkan pakej atau ciri-ciri orang menghafaz al-Quran. Qari dan hafiz haruslah berperangai dengan perangai yang baik dan diredai seperti zuhud terhadap kemewahan dunia, tidak menaruh perhatian kepada harta atau gilakan dunia.

Juga orangnya murah hati, dermawan, berakhlak mulia dan wajah berseri-seri. Seorang yang santun, penyabar, menghindari pekerjaan yang menghinakan dan sentiasa memperindahkan dirinya. Menjauhi tempat tertawa dan tidak bercanda berlebihan.

Takut pada ujub, riak, hasad, merendahkan orang lain, takbur dan sentiasa berhati-hati. Mempergunakan zikir, doa, tasbih dan tahlil yang jelas sumbernya. Selalu ingat kepada Allah SWT di saat sepi, ramai dan menyandarkan segala urusan kepada Allah SWT. Demikianlah sebahagian adab pembaca dan penghafaz al-Quran yang harus disempurnakan.

Kelima ialah merenung atau mentadabbur sementara yang keenam ialah mengamalkan. Generasi al-Quran sudah pastinya tidak akan wujud jika hanya menumpukan kepada belajar, membaca dan menghafaz, tanpa mengamalkan al-Quran.

Ketujuh, adalah mendaulatkan al-Quran yang mengandungi hukum-hakam dan syariat yang telah Allah SWT tentukan sebagai panduan hidup manusia. Generasi al-Quran sudah pasti akan menjadikan segala perintah Allah SWT dalam al-Quran sebagai perjuangan hidup dan mati mereka.

Ibu bapa perlu menjadikan 7M sebagai panduan mendidik dan menjadikan diri serta anak sebati dengan al-Quran, bermula daripada mempelajari sehinggalah mengamalkan isi kandungan al-Quran. Jangan menjadikan al-Quran rujukan apabila menghadapi kesulitan, kesusahan atau atas sebab yang memaksa.

Mohonlah kepada Allah SWT supaya menghadirkan kegembiraan dan kebahagiaan dalam hati kita untuk membaca, mengajar, belajar, mengamal ataupun memperjuangkan al-Quran. Jadikanlah saat berurusan dengan al-Quran saat yang menggembirakan supaya sentiasa ada rasa untuk berdampingan dengan al-Quran.

Sematkan rasa bahagia bertuah dalam diri bahawa Allah SWT telah memilih lidah kita untuk membaca, mata untuk menatap ayat Allah SWT, telinga untuk menadah dan mendengar ilmu mengenai al-Quran. Merasa diri tenang dan gembira dapat melaksanakan sesuatu amalan berkaitan dengan al-Quran.

 

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: